Khamis, 17 Mac 2011

SYABAS DAN TAHNIAH !!!

Salam sejahtera,

Kebelakangan ini ramai yang menelefon saya kerana berminat dengan SKM-PPT dan bertanyakan prosedur permohonan. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada anda semua yang telah menghubungi saya. Sehubungan itu, saya telah menambah maklumat-maklumat lebih terperinci agar anda lebih mudah memahami apa itu SKM-PPT.

Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan TAHNIAH kepada anda yang telah BERUSAHA dan BERJAYA memperolehi sijil SKM dan DKM melalui kaedah PPT:

  1. Sdra Mohd Nidzam Hamdan dari Lumut (Sistem Komputer Tahap 2 dan 3 dan DKM Tahap 4);
  2. Sdra Muzamil Manzor dari Nilai, NS (Sistem Komputer Tahap 2 dan 3);
  3. Sdra Ramesh Babu dari Ipoh (Sistem Maklumat Tahap 2 dan 3);
  4. Sdra R. Viswaraj dari Seremban,NS (Sistem Komputer Tahap 2 dan 3);
  5. Sdri R. Magleshvari dari Seremban, NS (Pembangunan Aplikasi Pengaturcaraan Tahap 2 dan 3);
  6. Sdra Ganesh Raj dari Seremban, NS (Pembangunan Aplikasi Pengaturcaraan Tahap 2 dan 3);
  7. Sdra Mohd Hisham Idris dari KL (Sistem Komputer Tahap 2);
  8. Sdra P. Sivakumar dari KL (Sistem Komputer Tahap 2);
  9. Sdra Suhaili George dari KL (Sistem Komputer Tahap 2);
  10. Sdra Hafiz dari Kamunting (Sistem Komputer Tahap 2 dan 3);
  11. Sdri Nur Mashitah dari Pulau Pinang (Sistem Komputer Tahap 2);
  12. dan ramai lagi calon-calon lain yang memohon melalui saya tetapi menyempurnakan SKM-PPT dalam bidang masing-masing melalui Penilai-PPT masing-masing. Syabas !!

PANDUAN SKM-PPT - (Bah. XIII - Penutup)

PENUTUP

11.1 Adalah diharapkan panduan dan peraturan yang dijelaskan ini dapat memperkemaskan dan memantapkan lagi pelaksanaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) melalui kaedah PPT.

11.2 Personel yang terlibat dalam melaksanakan kaedah PPT dikehendaki mengikut panduan dan peraturan yang telah ditetapkan.


TARIKH KUATKUASA

Peraturan ini adalah berkuatkuasa serta merta dan hendaklah dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat dalam aktiviti Persijilan Kemahiran Malaysia melalui kaedah PPT.

PANDUAN SKM-PPT - (Bah. XII - Peraturan Calon)

PERATURAN-PERATURAN CALON PPT

Kriteria Calon

10.1 Calon PPT dikehendaki memenuhi kriteria-kriteria berikut:-

10.1.1 Memiliki keterampilan dalam bidang kemahiran yang disediakan dalam Daftar NOSS dan mampu mengemukakan bukti-bukti keterampilan untuk dinilai dan disahkan.

10.1.2 Memiliki pengalaman bekerja dalam bidang yang dipohon seperti pada para 3.1.4 dan 3.1.7.


Tanggungjawab Calon

10.2 Calon PPT bertanggungjawab melakukan tugas-tugas berikut :-

10.2.1 Bekerjasama dengan PP-PPT untuk dinilai keterampilannya.

10.2.2 Memahami keperluan NOSS dalam bidang yang dipohon.

10.2.3 Membangunkan sendiri portfolio secara tersusun.

10.2.4 Bersedia mendapatkan bukti-bukti tambahan jika dikehendaki oleh PP-PPT.

10.2.5 Memberi kerjasama kepada PP-PPT semasa lawatan PP-PPT ke tempat kerja calon.

10.2.6 Memberitahu PP-PPT apabila portfolio dan modul pembelajaran sudah siap dan lengkap untuk dinilai.

10.2.7 Memberitahu PP-PPT jika memerlukan perlanjutan tempoh kaunseling /penilaian dengan memberi alasan yang munasabah.

10.2.8 Memberitahu PP-PPT atau JPK jika berlaku masalah kesihatan , perlu keluar negara, dan sebagainya untuk sesuatu tempoh yang lama.

10.2.9 Menghubungi JPK jika terdapat kesukaran untuk menemui PP-PPT bagi tujuan kaunseling / penilaian.

10.2.10 Menghubungi JPK jika PP-PPT meminta sebarang bayaran / hadiah.

10.2.11 Membuat pembentangan di hadapan PP-PPT dan PPL-PPT yang telah dilantik oleh JPK pada masa yang telah ditetapkan bagi calon SKM I-031-3, DKM dan DKLM.


Perkara-Perkara Larangan

10.3 Calon PPT tidak boleh melakukan perkara-perkara larangan berikut:-

10.3.1 Mengemukakan bukti-bukti palsu.

10.3.2 Memberi keterangan palsu semasa ditemuduga oleh PP-PPT.

10.3.3 Memberi wang / hadiah kepada PP-PPT.

10.3.4 Memburuk-burukkan peribadi PP-PPT kepada orang lain.

10.3.5 Sengaja tidak mahu menemui PP-PPT untuk sesi kaunseling dan penilaian.


Tindakan Tatatertib

10.4 Sekiranya calon gagal melaksanakan perkara-perkara atau mana-mana keperluan lain yang dinyatakan, JPK berhak mengambil tindakan seperti berikut:-

10.4.1 Meminta penjelasan secara bertulis.

10.4.2 Menggantung permohonan calon sehingga siasatan selesai dijalankan.

10.4.3 Menggugurkan duti-duti bagi bukti yang dipalsukan, dan calon tidak dibenarkan memohon SKM/DKM/DLKM bagi tempoh yang akan ditetapkan oleh JPK.

10.4.4 Membatalkan permohonan calon dan bayaran tidak akan dikembalikan.

PANDUAN SKM-PPT - (Bah. XI - Penilaian)

PENILAIAN

9.1 Penilaian portfolio calon oleh PP-PPT hendaklah dibuat secara sistematik.

9.2 Bukti-bukti yang disediakan mestilah dapat menggambarkan keterampilan calon bagi memenuhi keperluan setiap duti dalam NOSS berkenaan.

9.3 Semasa melaksanakan penilaian, PP-PPT boleh mengendalikan sesi soal jawab / temuduga bagi memastikan pengalaman dan keterampilan termasuk pengetahuan calon benar-benar memenuhi keperluan calon.

Ciri-ciri Penilaian bagi SKM Tahap 1-3

9.4 Bukti-bukti yang dikemukakan oleh calon mestilah sahih, boleh percaya dan mencukupi.

9.5 Sekiranya PP-PPT mendapati bukti tidak sahih atau tidak boleh percaya, PP-PPT berhak menolak bukti tersebut; jika bukti tidak mencukupi, PP-PPT boleh meminta calon mendapatkan bukti-bukti tambahan.

9.6 Sekiranya calon tidak dapat mengemukakan bukti-bukti tambahan maka calon hanya layak diberikan Penyata Pencapaian (PC).

9.7 Sekiranya calon mengemukakan bukti-bukti yang palsu, PP-PPT boleh mencadangkan pembatalan penganugerahan bagi duti dalam NOSS berkaitan kepada PPL-PPT atau mencadangkan kepada JPK supaya permohonan calon DIBATALKAN.


Ciri-ciri Penilaian bagi calon SKM Program I-031-3 (tambahan dari SKM Tahap 1-3)

9.8 Sekiranya calon tidak dapat mengemukakan bukti-bukti tambahan maka calon hanya layak diberikan Penyata Pencapaian (PC) dan calon tersebut tidak perlu melakukan pembentangan.

9.9 Selain itu, calon juga perlu menyediakan modul pembelajaran yang lengkap sebelum pembentangan dilakukan.

9.10 Calon perlu terampil seperti yang dikehendaki dalam Skim Penilaian Mengajar Teori Program I-031-3 dan Skim Penilaian Permohonan Program I-031-3 jika tidak, calon hanya layak mendapat PC.


Ciri-ciri Penilaian bagi calon DKM dan DLKM (tambahan dari SKM Tahap 1-3)

9.11 Sekiranya calon tidak dapat mengemukakan bukti-bukti tambahan maka calon hanya layak diberikan Penyata Pencapaian (PC) dan calon tersebut tidak perlu melakukan pembentangan.

9.12 Selain itu, calon juga perlu meyediakan laporan projek sebelum pembentangan dilakukan.

9.13 Calon perlu terampil di dalam pembentangan tersebut seperti yang dikehendaki di dalam Skim Penilaian Pembentangan DKM/DLKM (JPK/PPT/1009) seperti di dalam Lampiran E.

9.14 Jika di dapati tidak terampil, calon hanya layak mendapat PC.

PANDUAN SKM-PPT - (Bah. X - Projek DKM & DLKM)

Kaedah Menyediakan Laporan Projek DKM dan DLKM

7.1 Laporan projek calon adalah berbentuk sebuah buku berkulit tebal bagi memenuhi 80% dari keseluruhan NOSS bagi bidang dan tahap yang dipohon.

7.2 Bilangan mukasurat mestilah di antara 50-100 mukasurat tidak termasuk lampiran.

7.3 Laporan Projek hendaklah disediakan sendiri oleh calon. Namun begitu, calon boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada PP-PPT jika perlu.

7.4 Kandungan dan format laporan projek boleh dirujuk di
Lampiran D – Format Laporan Projek (JPK/PPT/1016).

7.5 Calon perlu menyediakan sendiri sebarang alat bantuan mengajar seperti LCD, Komputer/ Notebook dan sebagainya semasa sesi pembentangan

7.6 Setelah dinilai oleh PP-PPT dan disahkan oleh PPL-PPT, laporan projek tersebut akan dikembalikan kepada calon atau disimpan oleh PPL untuk tujuan rujukan dan jaminan mutu supaya tiada calon yang akan menggunakan bahan yang sama di masa akan datang.

NOTA:
  • Calon-calon DKM & DLKM sila bincang secara detail dengan Pegawai Penilai - PPT anda.
  • Hubungi saya sekiranya anda adalah calon di bawah bimbingan saya sahaja. Harap maaf.

PANDUAN SKM-PPT - (Bah. IX - Bukti-Bukti Pencapaian Terdahulu)

Sumber Untuk Mendapatkan Bukti

6.1 Bukti-bukti bagi PPT boleh diperolehi daripada sumber-sumber berikut:-

6.1.1 Pengalaman di tempat kerja
6.1.2 Kursus-kursus yang telah dihadiri.
6.1.3 Pengalaman hidup (hobi dan kerja-kerja sukarela yang berkaitan)
6.1.4 Pencapaian lain, termasuk dalam pertandingan kemahiran

Bentuk Bukti

6.2 BUKTI-BUKTI KUKUH adalah termasuk berikut:-

1. Sijil dan Transkrip


  • Daripada Pusat Bertauliah JPK, pihak awam atau swasta.
  • Disertakan dengan transkrip, sukatan dan kandungan latihan, dan sebagainya.
  • Disahkan oleh PP-PPT.

2. Senarai Tugas

  • Perlu ditandatangani oleh pegawai peringkat pengurus dan ke atas.
  • Disahkan oleh PP-PPT


3. Lesen

  • Badan Perlesenan Kerajaan
  • Disahkan oleh PP-PPT


4. Kad Kerja / Buku Log

  • Rujuk pada kad kerja asal / buku catatan
  • Disahkan oleh Pengurus dan PP-PPT


5. Perakuan PP-PPT

  • PP-PPT melawat tempat kerja calon dan akan mengisi BorangPerakuan Lawatan PP-PPT


6. Testimonial

  • Daripada Pusat Bertauliah JPK dan disertakan dengan transkrip / jadual waktu/silibus/isi kandungan kursus
  • Disahkan oleh PP-PPT


7. Anugerah

  • Daripada Pusat bertauliah JPK
  • Disahkan oleh PP-PPT



8. ROC/ROB/ROS

  • Disahkan oleh PP-PPT

6.3 BUKTI-BUKTI SEDERHANA - iaitu memerlukan bukti tambahan, atau penyemakan melalui siasatan / temuduga adalah termasuk:-


1. Hasil kerja

  • Dihasilkan sebelum permohonan dikemukakan
  • Perlu pengesahan bertulis oleh pelanggan / majikan / pihak ketiga dan disahkan oleh PP-PPT.

2. Gambar

  • Diambil sebelum permohonan
  • Perlu disahkan secara bertulis oleh pihak majikan/ rakan sekerja / pihak ketiga dan disahkan oleh PP-PPT

3. Surat Akuan

  • (Dari Pelanggan)
  • Mestilah merupakan pelanggan tetap kepada calon tidak kurang dari 2 tahun.
  • Perlu disahkan oleh PP-PPT

4. Kertas Kerja

  • Kertas kerja yang telah diterima / diluluskan oleh pihak majikan / pihak ketiga
  • Perlu disahkan oleh PP-PPT

5. Laporan

  • Laporan yang diterima oleh majikan / pihak ketiga
  • Perlu disahkan oleh PP-PPT

6. Keratan akhbar

  • Naskhah yang asal dan bertarikh.
  • Perlu pengesahan dari majikan / pihak ketiga disahkan oleh PP-PPT

7. Artikel

  • Naskhah yang asal dan bertarikh.
  • Perlu pengesahan dari majikan / pihak ketiga disahkan oleh PP-PPT

8. Bil/Resit/ Invois

  • Sediakan salinan asal untuk dilihat / disemak dan disahkan oleh PP-PPT

9. Sample

  • Dilihat dan disahkan oleh PP-PPT

10. Design/Blueprint

  • Sediakan salinan asal untuk dilihat / disemak dan disahkan oleh PP-PPT


11. Video / CD / Kaset

  • Sediakan salinan asal untuk dilihat / disemak dan disahkan oleh PP-PPT


12. Dokumen ISO

  • Rujuk pada kad kerja asal.
  • Disemak dan disahkan oleh PP-PPT

13. Fail Meja

  • Rujuk pada fail meja asal.
  • Disemak dan disahkan oleh PP-PPT



PANDUAN SKM-PPT - (Bah. VIII - Portfolio Calon)

Kaedah Membangunkan Portfolio

5.1 Portfolio calon adalah berbentuk sebuah fail bagi menyimpan/mengumpul segala jenis bukti pencapaian terdahulu secara tersusun dan sistematik, mengikut keperluan setiap profil tugasan NOSS.

5.2 Portfolio dibangunkan sendiri oleh calon dengan mendapatkan khidmat nasihat daripada PP-PPT.

5.3 Kandungan dan susunan portfolio calon hendaklah seperti berikut:-

5.3.1 Salinan Kandungan dan Susunan Portfolio calon
5.3.2 Resit Pembayaran Permohonan
5.3.3 Salinan Pendaftaran Calon
5.3.4 Maklumat Umum Calon yang mengandungi:-
(a) Salinan Kad Pengenalan
(b) Pengesahan majikan mengenai tempoh bekerja
(c) Carta Organisasi
5.3.5 Dua salinan Borang JPK/PPT/1003 – Borang Permohonan SKM/DKM/DLKM
5.3.6 Carta Profil Pekerjaan
5.3.7 Bukti-bukti pencapaian terdahulu

Download Susunatur Portfolio di sini (Klik kanan dan "save as.."):
http://skm.edunetservices.com/folio.pdf

PANDUAN SKM-PPT (Bah.VII - Kaunseling)

Kaedah


4.1 Kaunseling merupakan pertemuan di antara PP-PPT dengan calon, di mana PP-PPT menerangkan kaedah pembangunan portfolio, jenis-jenis bukti dan tindakan yang perlu dilakukan oleh calon serta membincangkan tarikh dan tempat pertemuan seterusnya.

4.2 Portfolio yang telah dibangunkan oleh calon akan diserahkan kepada PP-PPT untuk tujuan penilaian. PP-PPT akan membandingkan semua bukti-bukti yang ada di dalam portfolio dangan keperluan profil tugasan NOSS. Sekiranya bukti-bukti tidak mencukupi, calon perlu mendapatkan bukti-bukti tambahan.

4.3 Proses kaunseling bagi calon Program Pegawai Latihan Vokasional I-031-3 , adalah termasuk menilai calon di dalam sesi mengajar (lesson practise) sebenar di tempat calon bertugas. PP-PPT juga perlu memberi khidmat nasihat kepada calon di dalam penyediaan Bahan Pengajaran Bertulis (WIM) yang akan dibentangkan oleh calon.

4.4 Proses kaunseling bagi calon DKM dan DLKM adalah termasuk memberi khidmat nasihat di dalam penyediaan Laporan Projek yang akan dibentangkan oleh calon.

4.5 Proses kaunseling dan penilaian boleh dibuat berulang kali sehingga PP-PPT dan calon bersedia untuk membuat keputusan tentang kelayakan SKM/DKM/DLKM atau PC. (PP-PPT hendaklah membuat laporan tentang kemajuan calon-calon di bawah seliaannya sehingga tamat tempoh kaunseling)


Tempoh

4.6 Calon dan PP-PPT bagi pemohon SKM diberi tempoh selama 2 bulan bagi melengkapkan proses kaunseling dan penilaian.

4.7 Calon dan PP-PPT bagi pemohon DKM/DLKM diberi tempoh 2 bulan bagi melengkapkan proses kaunseling dan 3 bulan lagi bagi calon untuk menyiapkan laporan projek.

4.8 Selepas tempoh ini, surat amaran akan dihantar kepada calon, dan salinannya kepada PP-PPT.

4.9 Surat penamatan akan dihantar kepada calon dan salinannya kepada PP-PPT jika calon gagal memberi alasan yang boleh diterima dalam tempoh satu (1) bulan dari tarikh surat amaran dikeluarkan dan bayaran tidak akan dikembalikan.

PANDUAN SKM-PPT - (Bah. VI - Proses Permohonan)

Proses Permohonan SKM Tahap 1-3

3.9 Hanya calon yang telah diakui pembayarannya akan diproses permohonannya.

3.10 Bayaran yang diterima akan diproses oleh Bahagian Kewangan dan calon akan menerima resit rasmi.

3.11 Permohonan akan disemak bagi menentukan sama ada pemohon memenuhi segala kriteria dan syarat yang telah ditetapkan.

3.12 Unit PPT akan meneruskan proses seterusnya iaitu proses pemilihan Pegawai Penilai (PP-PPT); PP-PPT berkenaan yang dilantik akan menerima Surat Pendaftaran yang sama dengan calon.

3.13 PP-PPT dan calon dikehendaki mengadakan pertemuan untuk sesi kaunseling dan seterusnya sesi penilaian portfolio calon apabila siap dibangunkan oleh calon.

Proses Permohonan SKM Program I-031-3
(tambahan selepas para 3.13 proses permohonan SKM Tahap 1-3)

3.14 PP-PPT juga akan membantu calon di dalam penyediaan Bahan Pengajaran Bertulis (WIM) yang akan dibentangkan oleh calon.

3.15 PP-PPT juga dikehendaki menilai calon menggunakan Skim Penilaian Mengajar Teori Program I-031-3 (JPK/PPT/1014) seperti di Lampiran A di dalam sesi mengajar sebenar di tempat calon bertugas.

3.16 Calon perlu menyediakan sendiri sebarang alat bantuan mengajar seperti LCD, Komputer/Notebook dan sebagainya semasa sesi pembentangan.

3.17 PPL-PPT dikehendaki membuat penilaian terhadap pembentangan yang dilakukan oleh calon menggunakan borang Skim Penilaian Permohonan Program I-031-3 (JPK/PPT/1015) seperti di

Lampiran B.

3.18 Masa maksima yang dibenarkan kepada calon adalah 30 minit untuk melakukan pembentangan dan 10 minit untuk sesi soal jawab.

Proses Permohonan DKM dan DLKM
(tambahan selepas para 3.13 proses permohonan SKM Tahap 1-3)


3.19 PP-PPT juga akan memberikan khidmat nasihat di dalam penyediaan laporan projek yang akan dibentangkan oleh calon jika diperlukan.

3.20 Calon perlu menyediakan sendiri sebarang alat bantuan mengajar seperti LCD, Komputer/Notebook dan sebagainya semasa sesi pembentangan.

3.21 Pembentangan perlu meliputi sekurang-kurangnya 80% dari keseluruhan NOSS bagi bidang dan tahap yang dipohon. Masa maksima yang dibenarkan adalah 30 minit untuk melakukan pembentangan dan 10 minit untuk sesi soal jawab.

PANDUAN SKM-PPT - (Bah. V - Permohonan)

Kaedah Permohonan

3.5 Permohonan mestilah mengunakan borang yang boleh dimuat turun melalui:

(Klik kanan dan "Save as..." )

Muka 1
http://www.edunetservices.com/skm/skm2a.pdf
Muka 2
http://www.edunetservices.com/skm/skm2b.pdf


3.5.1 Calon diingatkan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan sebelum memohon.

3.5.2 Calon hendaklah mengisi maklumat yang dikehendaki dengan cermat dan lengkap mengikut panduan yang ditetapkan.

3.5.3 Bukti-bukti seperti Surat Akuan Majikan bagi mengesahkan tempoh pengalaman bekerja di dalam bidang yang dipohon dan Sijil SKM/DKM yang sedia ada hendaklah disertakan bersama permohonan.

Penghantaran Bayaran Permohonan

3.6 Permohonan hendaklah dikemukakan ke Bahagian Malaysian Occupational Skill Qualification (MOSQ), u.p: unit PPT yang mengandungi perkara-perkara berikut:-

3.6.1 Bayaran sebanyak RM300.00 bagi setiap calon dan setiap tahap dalam bentuk Kiriman Wang, Deraf Bank, Pesanan Kerajaan (L.O.) atas nama ‘KETUA PENGARAH PEMBANGUNAN KEMAHIRAN’ yang memiliki tempoh sahlaku sekurang-kurangnya tiga (3) bulan dari tarikh permohonan diterima.

3.6.2 Salinan Kad Pengenalan
3.6.3 Dokumen seperti dalam perkara 3.5.3

Setelah anda lengkapkan borang di atas, kirimkan bersama perkara 3.6.1, 3.6.2 dan 3.6.3 ke:

BAHAGIAN MOSQ, UNIT PPT,
Jabatan Pembangunan Kemahiran,
Tingkat 7-8, Blok D4, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62530 PUTRAJAYA


3.7 Permohonan yang tidak memenuhi mana-mana keperluan yang dinyatakan, AKAN DITOLAK DAN BAYARAN TIDAK AKAN DIKEMBALIKAN SEPERTI SYARAT YANG TELAH DIPERSETUJUI SEMASA PERMOHONAN.


Bidang Yang Tidak Diliputi PPT

3.8 Permohonan SKM/DKM/DLKM melalui kaedah PPT tidak dibuka kepada beberapa bidang kemahiran NOSS di atas sebab-sebab tertentu. Bidang-bidang berkenaan ditetapkan seperti berikut:-

1. Pemandu Pelancong L-030-3; Pemandu Pelancong Alam Semulajadi L-201-3; Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Setempat L-202-2

2. Ujian Tanpa Musnah H-040-1, H-040-2, H-040-3; H-110-1, H-110-2, H-110-3; H-080-1, H-080-2, H-080-3; H-120-1, H-120-2, H-120-3; H-130-1, H-130-2, H-130-3; H-140-1, H-140-2, H-140-3; H-150-1, H-150-2, H-150-3; H-041-2, H-042-2


3. Pendawai C-020-1, C-020-2;


4. Penjaga Juruelektrik C-030-1, C-030-2, C-030-3;


5. Penyelam – Komersial U-021-2, U-021-3; U-022-2, U-022-3; U-023-2, U-023-3;


6. Penyelam – Rekreasi U-010-3, U-010-4, U-010-5; U-020-3, U-020-4, U-020-5

PANDUAN SKM-PPT (Bah. IV - Persiapan Sebelum Memohon)

Persiapan Sebelum Mengemukakan Permohonan

3.4 Sebelum mengemukakan permohonan, pemohon dinasihatkan membuat persediaan-persediaan berikut:-

3.4.1 Merujuk kepada daftar NOSS untuk menentukan bidang dan tahap kemahiran yang sesuai dipohon.

3.4.2 Buat penyemakan sendiri untuk :-




  • Menentukan keterampilan yang dimiliki dapat memenuhi keperluan NOSS atau tidak.


  • Menentukan tidak akan timbul kesukaran menyediakan bukti-bukti keterampilan, yang mengakibatkan kelewatan sehingga melampaui tempoh kaunseling yang dibenarkan.


  • Mengelakkan calon daripada layak menerima Penyata Pencapaian (PC) sahaja.


  • Mengelakkan calon daripada kerugian kewangan kerana didapati tidak memiliki keterampilan/ kelayakan untuk memenuhi keperluan NOSS, dan dengan demikian tidak layak menerima apa-apa SKM/DKM/DLKM atau PC.

PANDUAN SKM-PPT (Bahagian III - Yuran / Bayaran)

Kadar Bayaran Permohonan

3.2 Kadar bayaran permohonan SKM/DKM/DLKM adalah seperti berikut:-




  • Satu (1) tahap sahaja RM 300.00


  • Dua (2) tahap secara serentak RM 600.00


  • Tiga (3) tahap secara serentak RM 900.00



Bentuk Bayaran

3.3 Bayaran permohonan hendaklah dibuat dalam bentuk Kiriman Wang, Deraf Bank atau Pesanan Kerajaan (L.O.) yang dibayar kepada ‘KETUA PENGARAH PEMBANGUNAN KEMAHIRAN’.



Bayaran dalam bentuk Wang Pos (Postal Order) atau bentuk lain tidak akan diterima.





PANDUAN SKM-PPT (Bahagian II - Peraturan Permohonan)

Syarat-syarat Permohonan

3.1 Pemohon dikehendaki memberi perhatian kepada syarat-syarat berikut:-

3.1.1 Bagi permohonan SKM Tahap 1, 2 dan 3, pemohon boleh mengemukakan permohonan untuk 1 tahap sahaja; atau 2 tahap serentak; atau 3 tahap serentak bagi sesuatu permohonan.

3.1.2 Bagi permohonan DKM, permohonan hanya boleh dilakukan setelah calon memiliki SKM Tahap 3, serta memiliki pengalaman bekerja tidak kurang dari 3 tahun. Dalam kata lain, permohonan SKM Tahap 1,2,3 dan DKM tidak boleh dibuat secara serentak.

3.1.3 Permohonan DKM dan DLKM boleh dibuat secara serentak atau secara berasingan.

3.1.4 Pemohon mestilah memiliki pengalaman bekerja di dalam bidang yang berkaitan, seperti berikut:-


  • 6 bulan ke atas untuk memohon SKM Tahap 1

  • 1 tahun ke atas untuk memohon SKM Tahap 2

  • 2 tahun ke atas untuk memohon SKM Tahap 3

  • 3 tahun ke atas untuk memohon SKM Tahap 4 (DKM)

  • 5 tahun ke atas untuk memohon SKM Tahap 5 (DKLM)

Nota: # Tidak termasuk tempoh latihan, jika ada mengikuti program/kursus di pusat latihan.

3.1.5 Pemohon yang mengemukakan permohonan pada tahap yang lebih tinggi hendaklah memiliki SKM pada tahap sebelumnya, jika diperlukan oleh NOSS berkenaan.

3.1.6 Memiliki keterampilan dalam bidang kemahiran yang disenaraikan dalam daftar NOSS, dan mampu mengemukakan bukti-bukti pencapaian terdahulu untuk dinilai dan disahkan.

3.1.7 Bagi permohonan yang memohon Program Pegawai Latihan Vokasional (I-031-3) mestilah memiliki pengalaman dalam bidang yang berkaitan seperti berikut:-



  • Sijil Kemahiran Malaysia (SKM Tahap 2) 7 tahun ke atas

  • Sijil Kemahiran Malaysia (SKM Tahap 3) 5 tahun ke atas

  • Diploma Kemahiran Malaysia / Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DKM/DLKM) 3 tahun ke atas

Nota: # Tidak termasuk tempoh latihan, jika ada mengikuti program/kursus di pusat latihan.

Rabu, 16 Mac 2011

PANDUAN SKM-PPT (Bah. I - Pendahuluan)

1.0 OBJEKTIF PANDUAN

Panduan ini bertujuan untuk memberi penerangan mengenai pelaksanaan permohonan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) melalui kaedah Pentauliahan Pencapaian Terdahulu (PPT), khususnya dari aspek permohonan, kaunseling, portfolio calon, bukti-bukti pencapaian terdahulu, penilaian dan personal yang terlibat.



2.0 PENDAHULUAN

Pelaksanaan Persijilan Kemahiran Malaysia melalui kaedah PPT telah dilancarkan pada 13 September 1996. Kaedah ini memberi peluang kepada pekerja mahir negara ini untuk mendapatkan pengiktirafan terhadap keterampilan yang mereka miliki. Pekerja-pekerja mahir yang berpengalaman dan tidak mempunyai sijil tertentu boleh memohon mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) tanpa perlu mengikuti latihan atau sebarang ujian khas. Calon hanya perlu menyediakan dan mengemukakan bukti-bukti keterampilan yang telah dimiliki atau diperolehi untuk dinilai dan disahkan di samping syarat-syarat lain yang telah ditetapkan seperti yang dinyatakan di dalam panduan ini.